KLUANG – Hasrat seorang peniaga mahu membuka perniagaan kasut dan barang kosmetik secara dalam talian musnah apabila diperdaya sebanyak RM113,000 pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa membuat laporan kejadian itu di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kluang semalam.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 65 tahun mendakwa berkenalan dengan sengan suspek iaitu seorang wanita menerusi media sosial.

“Mangsa kemudian ditawarkan menjadi rakan kongsi perniagaan. Pada Ogos lalu, mangsa berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa tidak pernah berjumpa secara bersemuka. Pada awal bulan ini, suspek menawarkan mangsa berkongsi modal bagi perniagaan itu.

“Suspek ditawarkan menguruskan perniagaan dan hasil keuntungan akan dibahagikan sama rata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian membuat 36 transaksi dalam empat akaun bank berjumlah RM113,000.

Mangsa sedar ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan dan telah gagal menghubungi suspek.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang kata Bahrin, membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes itu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan sebatan atau denda.

Polis, katanya, menyeru orang awam agar lebih berhati-hati terutama apabila berurusan secara dalam talian dengan membuat semakan telefon dan nombor akaun yang digunakan.

Mereka boleh gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Semak Mule.

Tambah beliau, perkhidmatan lain yang boleh digunakan Facebook, TikTok dan Instagram Polis Diraja Malaysia bagi membuka minda dan mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersil.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here