Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

AMPANG – Ibu dan anak perempuannya yang didakwa mencederakan pembantu rumah mereka menggunakan seterika dan tukul diberkas, 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang masing-masing berusia 61 dan 40 tahun itu ditahan di kediaman mereka di Taman Putra Sulaiman, kira-kira jam 11.30 pagi.

“Semakan lanjut mendapati kedua-dua tangkapan adalah ibu dan anak.

“Kedua-duanya tidak mempunyai rekod lampau dan telah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga menunggu siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Azam, pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada 13 Oktober lalu berhubung  kekerasan yang dilakukan oleh suspek yang juga majikannya.

Siasatan awal mendapati wanita Indonesia berusia 25 tahun itu bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman suspek selama dua tahun dan mempunyai dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah dan teratur.

“Pengadu mendakwa telah dicederakan oleh majikannya iaitu dua perempuan warga tempatan menggunakan tukul, pengepit besi dan seterika panas.

“Berikutan itu, pengadu mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dan kiri serta kaki di bahagian kanan dan kiri,” katanya lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, pengadu telah berjaya keluar dari rumah bagi mendapatkan pertolongan dengan bantuan orang awam untuk menyelamatkan diri.

Tambah Mohd. Azam, selain didera, suspek turut menuduh pengadu sebagai pemalas dan sering tidak berpuas hati dengan hasil kerja amah tersebut.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here