Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak membenarkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengikuti persidangan dari Galeri Awam Parlimen, dipersoal pihak pembangkang.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Ahli Parlimen Machang itu mengikuti persidangan di Galeri Awam, Isnin lalu namun beliau telah menerima surat daripad Johari yang tidak membenarkan Wan Ahmad Fayhsal berbuat demikian.

Beliau yang membangkitkan Aturan Mesyuarat perkara 44 berkata, seseorang ahli Dewan Rakyat yang digantung hanya tidak dibenarkan untuk berada dalam mesyuarat dan tidak menyebut untuk juga tidak dibenarkan berada di Galeri Awam.

Jelasnya, Galeri Awam adalah ruang di dalam bangunan Parlimen di mana orang awam boleh mengikuti sidang Dewan Rakyat.

“Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), (jika) seseorang ahli digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat, dia hendaklah keluar dan tidak ambil bahagian dalam mesyuarat sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Machang sudah digantung selama enam bulan dari 18 Julai 2024 hingga 18 Januari 2025, namun dalam perenggan tiga surat yang diterima beliau beberapa hari lalu menyatakan beliau tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat, termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas, namun masih boleh berada di perkarangan kompleks Parlimen dan mengikuti siaran langsung yang dipapar.

“Beliau tidak duduk di tempat beliau (sebagai Ahli Parlimen), tetapi di Galeri Awam tempat orang kampung boleh datang dari ceruk mana sekalipun untuk duduk sini.

“Tetapi, Speaker kata Machang (Wan Ahmad Fayhsal) tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau Ahli Parlimen yang prihatin dan komited.

“Ada perkara (yang dibahaskan) berkaitan rakyat di Parlimen beliau, jadi boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) Ahli Dewan,” katanya sebaik selesai sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin membangkitkan perkara itu ketika sidang berkenaan dikendalikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut membandingkan isu tersebut dengan perlawanan bola sepak, di mana pemain yang dilayangkan kad merah masih boleh mengikuti perlawanan seterusnya di kawasan penonton.

“Peraturan jelas menyatakan (ahli Parlimen digantung) tak boleh duduk dalam mesyuarat, tak boleh ambil bahagian sehingga tempoh penggantungan tamat.

“Bagaimana dia boleh ambil bahagian kalau duduk di galeri awam? Boleh dia bercakap dan bertanya di situ? Tak boleh.

“Apakah ini satu lagi tindakan kerajaan Madani untuk mengikis peranan yang boleh dimainkan pembangkang?,” soalnya.

Sementara itu, menjawab mengenai perkara tersebut, Ramli berkata, berdasarkan tafsirannya, Peraturan Mesyuarat tidak menyebut di mana ahli Parlimen yang digantung boleh duduk dan ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertua.

Tambahnya, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu kerana Johari mempunyai kuasa yang lebih tinggi dan menyarankan agar Takiyuddin membangkitkan isu tersebut ketika Johari mempengerusikan sidang nanti. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here