Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah bercakap ketika ditemubual pada Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Keputusan fatwa berhubung isu ajaran sesat dan kumpulan doktrin Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Wilayah Persekutuan akan diputuskan Khamis ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, keputusan itu akan dimuktamadkan dalam Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat fatwa pada 24 Oktober ini khusus untuk (membincangkan) isu GISBH sama ada ia akan diwartakan sebagai ajaran sesat atau sebaliknya.

“Bagaimanapun untuk penguatkusaan fatwa di Wilayah Persekutuan, pihak berkuasa boleh gunakan fatwa sebelum ini iaitu fatwa Al-Arqam dan Rufaqa dan perkara itu telah pun dipersetujui,” kataya pada media, hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Pelancaran Skim Bantuan Komputer Riba Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Tahun 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Mengulas lanjut mengenai jumlah ajaran sesat di Wilayah Persekutuan, Luqman berkata lebih 20 kumpulan dikesan dan telah difatwakan di sini.

“Untuk di Kuala Lumpur lebih kurang sama macam Selangor cuma penguatkuasaan itu kebanyakkan berlaku di luar wilayah ini.  Walaupun ada (ajaran sesat) di sini tapi ia tidak sebanyak seperti di negeri-negeri lain,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtan berhubung perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam harus diurus secara beradab.

Luqman menjelaskan, untuk di Wilayah Persekutan terdapat pihak berkuasa dan fatwa yang boleh dipatuhi oleh masyarakat untuk mengelak perbalahan.

“Kalau setiap masyarakat boleh akur pada setiap fatwa yang sedia ada di dalam Wilayah Persekutuan ini, maka tidak timbul isu pergaduhan masyarakat.

“Setiap kita ada pandangan masing-masing, itu tidak boleh kita elak. Pada akhirnya, kita perlu akur pada pandangan fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa yang diberi amanah,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa negeri iaitu Melaka, Perlis, Selangor, Sabah dan Pulau Pinang sudah memutuskan kepercayaan dan ajaran GISBH sebagai ajaran sesat. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here