Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah membuat laporan polis berhubung dakwaan pihaknya melindungi sebuah kontena yang merupakan milik kerabat diraja.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menafikan tohmahan yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab berhubung perkara terbabit.

“JKDM juga menafikan dakwaan pegawainya telah menerima arahan dari Ketua Pengarah Kastam (KPK) untuk mengenakan duti atau cukai atau melepaskan dagangan yang diimport tanpa dikenakan cukai.

“Sebagai KPK, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan atau melepaskan mana-mana orang daripada membayar keseluruhan atau sebahagian dari cukai kerana ianya di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular di salah satu platform media sosial membabitkan sebuah kontena bernombor WHSU5300666 yang dikatakan membawa muatan dagangan rokok yang telah dilepaskan KPK melibatkan Kerabat Diraja Sultan Perak.

Anis Rizana menegaskan, JKDM menafikan dakwaan terbabit dan berdasarkan rekod kontena berkenaan membawa barangan yang sudah melalui proses kerja dan prosedur JKDM.

Kontena berukuran 12.19 meter berkenaan berstatus full container load (FCL) dan berdasarkan Borang Kastam (BK1) diikrarkan sebagai 1,071 unit bagasi.

“Rekod imej mesin pengimbas dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap kontena mengesahkan maklumat barang dagangan di dalam manifest dan Borang K1 adalah sama seperti yang diikrarkan iaitu beg bagasi.

“Susulan itu JKDM berpuas hati bahawa pengikraran yang dilakukan adalah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967, pengimport juga membayar Cukai Jualan Import dan dagangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here