Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada media berkenaan Majlis Persidangan Antarabangsa Rundingan Penerbangan Awam (ICAN) 2024 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Sunway Resort Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 21 OKTOBER 2024.

PETALING JAYA- Menteri Pengangkutan memberi jaminan bahawa tambang pengangkutan awam di negara ini tidak akan terkesan dengan penetapan gaji minima RM1,700 pada Februari 2025.

Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan itu tidak akan berlaku memandangan kadar tambang pengangkutan awam dikawal oleh kerajaan.

“Lagipun, kalau kita lihat sekarang kebanyakan kakitangan pengangkutan awam termasuk pemandu bas sudah menerima gaji bulanan melebihi pendapatan minimum.

“(Termasuk tambang pengangkutan awam) tambang bas dikawal oleh kerajaan.. maka mereka tidak boleh menaikkan kadar tambang sesuka hati.

“Seperti yang saya tegaskan kebanyakan pemandu bas kini menerima gaji antara RM2,000 to RM3,000,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan International Civil Aviation Negotiation 2024 di Bandar Sunway hari ini.

“Jadi, ia (sektor pengangkutan awam) tidak akan menerima impak besar lagipun adalah sukar untuk mencari pemandu jika dibayar gaji minima RM1,700 kerana mereka menerima gaji melebihi 3,000 dan ke atas…Prasarana membayar gaji mencecah RM3,000 kepada pemandu bas mereka,” ujarnya lagi.

Pada 18 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peningkatan gaji minima dari RM1,500 to RM1,700 sebulan berkuatkuasa 1 Februari 2025 di Parlimen.

Pada perkembangan sama Anthony Loke juga menjelaskan bahawa industri penerbangan juga tidak akan terkesan dengan kenaikan kadar gaji minima tersebut.

Ini kerana katanya, majoriti pekerja dalam sektor tersebut adalah pekerja berkemahiran dan menerima gaji melebihi RM1,700.

“Sektor penerbangan sudah melaksanakan gaji melebihi RM1,700 sebulan sejak dahulu lagi jadi saya tidak rasa penetapan gaji minimum seperti diumumkan PM dalam Bajet akan memberi kesan kepada sektor penerbangan awam awam negara ini

“Apatah lagi, kebanyakan kerja dalam sektor penerbangan pada masa ini adalah bersifat teknikal yang menuntut individu berkemahiran dan terlatih,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast