Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar pada sidang media Majlis Penyerahan Peralatan Bantuan Perniagaan dan Pelancaran Penjenamaan Kumpulan Terapis Proreflexy bagi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A 2024) Bidang Kursus Refleksologi dan Urutan di Hotel Excelsior, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OKTOBER 2024.

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyerahkan keputusan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri sama ada terdapat keperluan untuk pengagihan wang zakat kepada anak dan bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) yang telah bertaubat.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, keputusan itu juga turut melibatkan Jabatan Mufti Negeri Perak dan kerajaan negeri.

“Kita tunggu sana (Jabatan Mufti), tunggu fatwa dan keputusan kerajaan negeri lah. Apa-apa agihan,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peyerahan Peralatan Bantuan Perniagaan dan Pelancaran Penjenamaan Kumpulan Terapis Proreflexy Bagi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A 2024) di Hotel Excelsior, di sini pada Isnin.

Rohizan berkata demikian bagi menjawab soalan media sama ada MAIPk yang menguruskan wang zakat di Perak, menggunakan dana zakat itu untuk membantu anak dan bekas ahli GISBH seperti yang dilaksanakan di negeri Perlis.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberikan sumbangan zakat RM5,000 kepada seorang bekas ahli GISBH sebagai usaha membantu memulakan kehidupan baharu mengikut ajaran Islam sebenar.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, MAIPs melaksanakan langkah membantu bekas ahli GISBH kembali kepada kehidupan sepatutnya termasuk menyediakan peruntukan zakat bagi membebaskan mereka daripada pengaruh ajaran kumpulan itu.

Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada keputusan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan usaha ini selaras dengan Fatwa Negeri yang mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat.

Sementara itu, Rohizan turut memaklumkan GISBH tidak pernah menunaikan sebarang pembayaran zakat menerusi perniagaan yang dijalankan di negeri Perak.

“Tak ada jugalah (tiada). Bagaimanapun saya bukan dalam bidang untuk buat kutipan zakat, sebaliknya saya dalam bidang agihan sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi sebagai menjawab pertanyaan media sama ada MAIPk menerima zakat daripada GISBH.

Terdahulu, media melaporkan selain di Perlis, beberapa majlis agama di negeri lain antaranya Selangor, Pulau Pinang, dan Terengganu turut mengakui GISBH tidak pernah menunaikan sebarang pembayaran zakat menerusi perniagaan yang dijalankan di negeri itu masing-masing. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here