Foto Facebook Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu akan diumumkan pada suku pertama tahun depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pengumuman kerangka bernilai RM1 bilion itu akan dilakukan lebih awal daripada yang sepatutnya pada Jun tahun depan.

“Kementerian pada mulanya menyasarkan untuk mengumumkan butiran rangka kerja itu pada Jun tahun depan tetapi membawa sasaran lebih untuk memastikan pelabur dimaklumkan mengenai set insentif baharu itu secepat mungkin.

“Ini kerana banyak kerja mengenai rangka kerja telah dilakukan tahun ini dan kami berhasrat membentangkannya kepada Jawatankuasa Pelaburan Nasional pada mesyuarat seterusnya pada Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MITI dan Pengumuman Kad Laporan MITI Suku Ketiga 2024 di Menara MITI, di sini, hari ini.

Foto Facebook Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat itu berkata, kerangka itu dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025 bagi beberapa perkara utama.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik (E&E) melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.

Kata Anwar, bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini, potongan cukai khas diberikan kepada universiti swasta dan institut latihan kemahiran swasta yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, FinTech dan teknologi mampan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan perlu memikirkan semula insentif yang boleh digunakan untuk menarik pelaburan asing ke negara ini dengan cukai minimum global (GMT) sebanyak 15 peratus dikenakan ke atas perusahaan multinasional berkuat kuasa tahun depan.

Menurut beliau, dengan adanya GMT, kerajaan tidak lagi dapat menawarkan kadar cukai sifar dan wajar menawarkan insentif lain seperti bakat, tenaga hijau dan lain-lain.

“Insentif juga tidak boleh diberikan secara rawak dan ia perlu lebih disasarkan kepada industri yang benar-benar boleh menambah nilai kepada ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here