Gambar hiasan

IPOH – Polis sedang menyiasat bunyi letupan dan gegaran yang menggemparkan penduduk di sekitar Ipoh pagi ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu sekitar jam 11.06 pagi.

Menurutnya, hasil semakan dengan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini

“Selain itu, semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada aktiviti letupan yang dijalankan di kuari sebelum jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris

“Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut mendapati tidak terkesan sebarang aktiviti seismik di Ipoh walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi tadi,“ katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, susulan itu, polis sedang menyiasat mengenai insiden ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi  di talian 05-245 1119 atau 05-245 1073.

“Orang ramai juga diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini sehingga mencetuskan kegusaran awam,“ ujarnya.

Terdahulu, orang ramai gempar apabila terdengar bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.

Insiden itu turut menggusarkan dalam kalangan warga net yang memuat naik status di media sosial mereka. – MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here