Foto Facebook Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu berjaya mencapai objektifnya dengan kehadiran hampir 500,000 pengunjung.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan program bagi Zon Sabah itu merupakan kolaborasi antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai kementerian peneraju dan kerajaan Sabah.

“Pengisian program ini melibatkan pembukaan 36 unit reruai kementerian dan agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selain penglibatan sektor swasta

“Antara komponen yang disediakan adalah sebanyak 215 perkhidmatan touchpoint rakyat, penglibatan 118 usahawan jualan madani, pameran aset oleh empat agensi kerajaan, 14 majikan di karnival kerjaya, 40 acara sesi libat urus pentas, 20 aktiviti luar, 28 perkhidmatan kos sara hidup dan 18 aktiviti agenda belia di mana ia telah berjaya menarik seramai 485,474 pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto Facebook Armizan Mohd Ali.
PMR 2024 yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Likas itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Armizan berkata, dalam program sama, Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif Kita Gempur iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

“Dengan pelancaran ini, kerajaan melalui KPDN beriltizam untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, dalam majlis sama turut berlangsung penyampaian surat hak milik tanah individu kepada wakil penerima dari lapan daerah.

“Pengeluaran surat hak milik tanah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) melalui bantuan peruntukan kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM yang dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah.

“Objektif Pantas antaranya adalah untuk memelihara dan melindungi kepentingan anak negeri Sabah atas tuntutan hak tanah adat dan pemilikan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah,” katanya.

Foto Facebook Armizan Mohd Ali.

Selain itu, Armizan berkata, sebagai salah satu langkah meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendekatan Projek Berasaskan Komuniti, Perdana Menteri turut menyerahkan cek cura kepada wakil penerima Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) dan melancarkan Nombor Plat Istimewa (NPI) Madani untuk tujuan bidaan.

Sehubungan itu, menerusi pengisian pelbagai program tersebut, ia telah berjaya mencapai objektif untuk merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di akar umbi.

“KPDN selaku kementerian peneraju ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak merentasi kementerian dan agensi persekutuan serta negeri, syarikat swasta, usahawan dan khususnya warga Sabah yang telah hadir menjayakan dan memeriahkan program ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here