Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertegas dirinya tidak pernah melakukan apa-apa yang bertentangan dengan kepentingan syarikat dana strategik, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bahkan beliau tidak akan bertindak bertentangan dengan kepentingan negara kerana beliau sudah mengambil sumpah setia sebelum menjadi Perdana Menteri.

Hari ini ketika prosiding saman SRC sebanyak AS$1.18 bilion (RM3.6 bilion) terhadapnya,  Najib yang sedang memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata, beliau tidak mungkin dapat bekerja sendirian sebaliknya bergantung dengan pasukan pengurusan yang sepatutnya bertindak profesional.

Kata Najib, beliau tidak boleh dipersalahkan terhadap penyelewengan yang berlaku dalam SRC kerana beliau tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang transaksi dilakukan.

Beliau juga berpandangan pengurusan SRC sebenarnya bertanggungjawab dalam salah urus dan salah guna dana syarikat itu diterajui oleh Nik Faisal Ariff Kamil yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Untuk makluman, Nik Faisal ketika ini masih dalam buruan pihak berkuasa negara ini sama seperti ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut dikaitkan dengan semua penyelewengan berkaitan SRC dan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) ketika ini.

Dalam pada itu, ketika peguam mewakili bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin, Gurdial Singh Nijar menyoal balas Najib sama ada beliau sebenarnya boleh memberikan jawapan secara terperinci mengapa anak guam bersama pengarah lain dipersalahkan.

Kata Najib, Suboh dan ahli lembaga pengarah lain sebenarnya melanggar tanggungjawab fidusiari mereka.

“Apa yang mereka langgar, akan saya berikan perincian nanti,” katanya kepada Gurdial.

SRC International (plaintif) telah menyaman Najib terhadap Najib dan Nik Faisal sebanyak AS$1.8 bilion.

Selain Najib dan Nik Faisal, Suboh dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain iaitu Tan Sri Ismee, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Prosiding akan bersambung Khamis ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here