Wak Doyok (kiri) kini muncul dengan bisnes baharu menerusi teknologi termaju minyak yang memberikan penjimatan melalui rawatan enjin dan kotak kenderaan.

KUALA LUMPUR – Pernah melalui fasa kejatuhan dan rugi dalam perniagaan tidak pernah mematahkan semangat ikon media sosial dan usahawan popular, Wak Doyok untuk terus bergelar usahawan dan tampil dengan produk baharu.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor berkata, kegagalan masa lalu membuatkannya lebih bersemangat untuk bangkit dan  apa yang dilaluinya itu sebagai pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

Namun ikon fesyen lelaki itu mengakui sikap mempercayai orang dan lepas tangan dalam bisnes akan menjadi pengajaran buat dirinya pada masa akan datang.

“Dalam perniagaan ada turun naik, itulah ‘ijazah’ saya apabila ditipu yang saya tidak dapat belajar di mana-mana. Maknanya setiap usahawan kena ada benda kena berhati-hati dan ambil tahu bagi elak penipuan.

“Kita kena libat sekali dalam bisnes kerana saya ada banyak syarikat dan lepas kepada kawan-kawan. Datang ke pejabat sejam, dua hari sekali dan hanya jadi pengerusi mesyuarat.

“Kita tidak boleh serah bulat-bulat kepada orang kerana mereka boleh buat macam-macam dan akan ambil kesempatan di kepercayaan yang diberikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Wak Doyok bakal muncul dalam bisnes bio pertanian dalam masa terdekat.

Pada Ogos lalu, Wak Doyok mendakwa menanggung kerugian lebih RM3 juta akibat ditipu rakan perniagaan syarikatnya.

Dia berkata menyedari ditipu rakan perniagaannya yang juga pasangan suami isteri itu selepas membuat siasatan terhadap mereka yang dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen, salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Wak Doyok mendakwa pasangan itu  sudah mengosongkan premis pejabat dan melarikan semua barangan dan peralatan milik syarikat tanpa pengetahuannya.

Sebelum ini, usahawan yang terkenal dengan fesyen misai dan janggut yang unik merupakan pengasas bersama jenama pakaian The Garment dan cerut WD Cigar selain krim jambang yang pernah mencatat jualan lebih RM3.5 juta.

Namun produk krim itu berdepan isu ‘main harga’ apabila muncul produk palsu di pasaran yang menyebabkan kerugian kepada syarikatnya, WD Capital Sdn. Bhd.

Usahawan yang terkenal dengan fesyen misai dan janggut kini berimej baharu.

Mengulas lanjut, Wak Doyok kini muncul dengan bisnes baharu menerusi teknologi termaju minyak yang memberikan penjimatan melalui rawatan enjin dan kotak kenderaan.

Menurutnya, bisnes yang dikenali Ultrafast itu mampu memberikan perlindungan, prestasi, dan kecekapan yang tiada tandingan untuk kenderaan sama ada kereta dan motosikal.

Wak Doyok sebelum ini dikenali peminat kereta mewah apabila pernah memiliki Ford Mustang.

“Produk Ultrafast baru sahaja berada di pasaran dan buat permulaan kami hanya mengeluarkan 200 unit bagi memperkenalkan teknologi canggih untuk penjimatan minyak dan penjagaan enjin di mana setiap pemanduan menjadu jadi lebih jimat dan enjin sentiasa dalam keadaan terbaik.

“Orang ramai juga dialu-alukan menjadi pengedar dan ejen sebagau peluang menjana pendapatan tambahan bagi membantu lebih ramai pengguna kenderaan dapat manfaat dengan lebih efektif,” katanya yang kini tampil dengan imej baru yang lebih segar dan nampak muda walaupun sudah mencecah usia 50 tahun.

Wak Doyok menambah, sebagai projek perintis, pihaknya akan bekerjasama dengan Halo Delivery iaitu sistem aplikasi ‘Tempahan Penghantaran Hari Yang Sama’ yang dibangunkan oleh bakat tempatan.

Kolaborasi melibatkan pembangunan usahawan baharu di dua kawasan utama secara strategik di Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here