Seorang wanita nekad terjun dari tingkat empat sebuah bangunan rumah kedai bagi mengelak dicekup polis dalam kejadian di Dato Keramat, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang wanita nekad terjun dari tingkat empat sebuah bangunan rumah kedai bagi mengelak dicekup polis dalam kejadian di Dato Keramat di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, wanita berusia 33 tahun itu bagaimanapun tersangkut di bumbung tingkat satu bangunan tersebut sebelum pihak bomba menurunkannya.

“Kejadian berlaku pukul 10 pagi ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.

“Ketika serbuan wanita itu ada bersama seorang lagi suspek lelaki namun hanya dia yang melarikan diri sebelum terjatuh di bahagian bumbung.

“Susulan itu kita mohon bantuan pihak bomba untuk turunkan mangsa sebelum dia dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak,  Mohd Akmal Nasjuan Harun berkata, pihaknya dipanggil bagi menurunkan mangsa yang terjatuh di atas sengkuap (awning) tingkat satu bangunan itu.

“Sebaik tiba, kita dapati mangsa berada di atas sengkuap tingkat satu bangunan itu dalam keadaan tertiarap. Wanita berkenaan masih bernyawa namun tidak sedarkan diri dan pasukan penyelamat menurunkan mangsa menggunakan pengusung serta tangga jentera.

“Mangsa diangkat dengan berhati-hati berikutan kecederaan parah yang dialaminya sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here