Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Dandan di pusat refleksologi dan pusat dandanan di sebuah pasar raya terkenal di Bandaraya Johor Bahru, kelmarin

JOHOR BAHRU – Seramai 41 warganegara asing dan seorang majikan warga tempatan ditahan di pusat refleksologi dan pusat dandanan di sebuah pasar raya terkenal di bandar raya ini kelmarin.

Warga asing berusia 18 hingga 53 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor pada pukul 4 hingga 5.30 petang.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Gegar dan Ops Dandan itu seramai 108 warga asing dan warga tempatan diperiksa.

“Bahagian Penguatkuasa JIM Johor menahan 41 warga asing dan seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus premis di sebuah pusat refleksologi.

“Mereka yang ditahan melibatkan lapan lelaki dan 11 wanita warganegara Myanmar, tiga lelaki dan 11 wanita Indonesia serta seorang lelaki dan dua wanita Filipina.

“Turut ditahan seorang wanita Thailand dan empat wanita Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah serta salah guna pas lawatan sosial (PSL).

Katanya, semua mereka melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Mereka juga katanya, disiasat bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna PLS.

Beliau memberitahu, lelaki tempatan pula yang merupakan majikan warga asing itu ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebanyak lapan notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh JIM bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal di Malaysia dan bekerja di negara ini.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas ataupermit kerja yang sah,” tambahnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here