Mangsa, Huda,41 bercakap pada sidang media isu pemerdagangan manusia berkenaan empat keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar di mana antara mangsa dipukul dan diminta untuk bayar tebusan mencecah Rm100k di C-8-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh nyaris menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas terpedaya dengan tawaran kerja lumayan di Bangkok, Thailand, minggu lalu.

Mangsa, Nurul Huda Ahmad, 41, berkata dia ditawarkan bekerja sebagai pengasuh dengan kadar upah sebanyak RM2,000 selama empat hari, oleh pasangan yang mengaku bekerja sebagai konsulat asing.

“Saya memang menyediakan servis sebagai pembantu peribadi dan ‘travel nanny’. Sebelum-sebelum ni saya dah pernah pergi Dubai, Jepun, untuk bekerja.

“Saya dah lima tahun kerja dan selalu iklankan perkhidmatan saya melalui media sosial termasuk Facebook,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak menjumpai sebarang perkara yang mencurigakan terhadap tawaran berkenaan kerana kaedah yang digunakan pasangan tersebut sama dengan pelanggan-pelanggannya yang terdahulu, menyebabkan dia bersetuju menerima tawaran kerja tersebut.

 “Pasangan itu hubungi saya menerusi WhatsApp lalu mereka menemubual saya menggunakan aplikasi Zoom.

“Pasangan berkenaan bercakap dalam bahasa Indonesia, dan mereka menjawab soalan yang saya tanya dengan jawapan yang masuk akal,” katanya.

Katanya dia berlepas ke sana pada 13 Oktober serta tiba pada pukul 12.45 tengah hari.

Setibanya di lapangan terbang Nurul berkata, dia telah ditahan oleh seorang lelaki dipercayai pegawai kastam dan diarahkan untuk mengikutinya ke meja pemandu pelancong.

Dia kemudian dijemput oleh seorang pemandu menaiki sebuah kereta.

Bagaimanapun, dia sedar dia ditipu apabila aplikasi Google Map menunjukkan dia dibawa menaiki kereta selama enam jam daripada Lapangan Terbang Bangkok menuju ke Mae Sot, Tak di Thailand berhampiran sempadan dengan ‘hotspot’ aktiviti sindiket di Myawaddy, Myanmar.

“Bila sampai di pekan Tak ada polis sempadan tahan kereta dan minta pasport dan saya nekad minta tolong lalu bertanya jika ada anggota polis yang boleh berbahasa Inggeris.

“Saya beritahu polis itu yang saya ditipu dan ketika itu pemandu kereta paksa saya berikan pasport kepada polis tetapi saya enggan dan bila sudah kelam kabut itu, polis berkenaan tahan kereta kami ketepi.

“Polis itu menyoal pemandu berkenaan tetapi pemandu itu tidak mengaku, dia kata dia tidak tahu menahu dan tidak pandai berbahasa Inggeris malah pemandu itu juga mengambil wang tunai yang saya bawa berjumlah RM2,000..

“Saya jelaskan bahawa saya cuba diseludup ke Myanmar kepada polis berkenaan.

“Polis itu meminta pemandu terbabit beredar dan bantu saya dengan membelikan tiket bas ke Bangkok semula. Saya terus pulang ke Malaysia dari Hatyai ke Padang Besar, Perlis. Saya tidak pulang melalui penerbangan kerana bimbang ditangkap scammer semula,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang membabitkan negara jiran seperti Thailand dan Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap pada sidang media isu pemerdagangan manusia berkenaan empat keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar di mana antara mangsa dipukul dan diminta untuk bayar tebusan mencecah Rm100k di C-8-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OKTOBER 2024.

Ini kerana sindiket perdagangan manusia kini menggunakan pelbagai taktik licik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast