Tan Sri Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR- Individu berpendapatan tinggi atau ahli perniagaan tidak seharusnya dikenakan cukai yang keterlaluan oleh kerajaan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menjelaskan, ini kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan mereka kurang berminat untuk meningkatkan perolehan.

Tegas Rafidah, sebarang pelaksanaan cukai mestilah adil kepada semua rakyat.

Kerajaan katanya, tidak patut hanya mensasarkan kutipan cukai kepada golongan elit semata-mata dengan anggapan bahawa mereka sudah kaya.

“Mereka ini golongan yang menjana pendapatan melalui perniagaan. Sekiranya kerajaan berterusan memberi tekanan kepada mereka, perniagaan mereka mungkin akan terjejas dan seterusnya menyebabkan pekerja terpaksa diberhentikan.

“Jadi, jangan hanya pandang pada duit sahaja sebaliknya lihat juga kepada nilai tambah yang dibawa oleh setiap entiti perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk “Fathers and Their Wisdoms” di sini hari ini.

Rafidah turut menasihatkan kerajaan supaya tidak memperkenalkan cukai baharu kepada golongan kaya.

Katanya, cukai pendapatan sudah mencukupi untuk mengutip hasil daripada golongan tersebut.

Tambah beliau, kerajaan boleh menambah perolehan menerusi urus tadbir yang baik dan langkah-langkah menangani rasuah.

Justeru beliau mencadangkan supaya sistem pemantauan perbelanjaan belanjawan secara berkala di setiap peringkat tata urus kerajaan.

Katanya, sistem itu perlu dilaksanakan di peringkat daerah, kerajaan tempatan dan kementerian bagi memastikan tiada penyelewengan atau rasuah berlaku.

“Jangan kita permainkan duit rakyat ini dan elak bermewah. Adalah penting agar setiap ringgit dibelanjakan dengan apa yang ditentukan dan dirancang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rafidah turut menyarankan supaya penyasaran subsidi yang bakal dilaksanakan pada tahun depan diperhalusi.

Ini termasuk melaksanakan analisis faedah kos bagi memastikan setiap perancangan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Tegasnya, langkah itu penting supaya golongan rakyat berhak menerima subsidi yang diperuntukan secara saksama. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here