Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah meluluskan kawasan tanaman seluas 3,599 hektar untuk tanaman semula sawit di bawah program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) setakat Oktober lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, sebanyak 1,441 hektar tanah untuk tanaman semula sawit di bawah program itu sedang diproses manakala 550 hektar pula di peringkat dalam perhatian.

“Bagi tahun ini, kita menyasarkan 5,900 hektar untuk tanaman semula sawit.

“Kalau semua (tanaman semula sawit) ini dijalankan pada tahun ini, kita akan dapat menggunakan semua RM100 juta yang diperuntukkan untuk tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang ingin tahu langkah kementerian dalam usaha meningkatkan hasil komoditi sawit.

Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM100 juta di bawah program TSPKS 2.0 yang disediakan khusus untuk pekebun kecil persendirian yang layak.

Katanya usaha ini dijangka dapat meningkatkan populasi pokok sawit yang berprofil umur matang penuh sekitar sembilan hingga 18 tahun dan lebih produktif untuk jangka masa panjang, seterusnya membantu meningkatkan produktiviti hasil buah tandan segar (BTS) negara.

Sementara itu, Chan berkata KPK menyasarkan sebanyak empat peratus kawasan tanaman semula sawit pada setiap tahun daripada 5.7 juta hektar tanah yang dikekalkan bagi tanaman sawit.

Menurut beliau, kadar tanaman semula sawit ialah sebanyak 97,130 hektar (1.7 peratus) pada 2022 dan 132,000 hektar (2.3 peratus) pada 2023.

Beliau berkata sekiranya ia berjaya dilaksanakan, negara dapat meningkatkan pengeluaran sebanyak 1.5 juta tan minyak sawit mentah (MSM).

Menurut Chan, pengeluaran BTS di Malaysia bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan.

“Pada 2021, pengeluaran BTS adalah sebanyak 91.39 juta tan, meningkat kepada 94.8 juta tan pada 2022 dan 94.9 juta tan pada 2023.

“Pengeluaran MSM juga meningkat daripada 18.12 juta tan pada 2021 kepada 18.45 juta tan pada 2022 dan 18.55 juta tan pada 2023,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here