Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh. pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan libat urus dengan semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta Guru Perpustakaan di seluruh negara bagi membantu murid membuat penebusan Baucar Buku Madani.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, data penebusan setiap negeri, daerah dan sekolah sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan penebusan berjalan lancar dan dioptimumkan.

“Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid Malaysia.

“Malah, dengan peruntukan yang besar ini, program Baucar Buku Madani juga berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan yang berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat bagi murid pelbagai peringkat pendidikan di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (DAP-Ipoh Timor) yang bertanyakan mengenai status terkini pemberian baucar buku seperti yang telah diumumkan serta jumlah peruntukan yang disediakan.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, sehingga 21 Oktober 2024, seramai 1,915,110 orang murid dan pelajar lepasan menengah seluruh negara telah membuat penebusan baucer buku berkenaan.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 661,487 ialah murid tahap dua sekolah rendah, manakala seramai 1,191,817 merupakan murid sekolah menengah.

“Bagi Kolej Vokasional, Pra-Universiti, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru pula berjumlah 61,806 pelajar.

“Jumlah nilai Baucar Buku Madani yang telah pun ditebus oleh golongan ini sehingga 21 Oktober 2024 adalah berjumlah RM157 juta.

“Daripada penebusan ini, ia telah pun menghasilkan nilai pembelian keseluruhan sebanyak RM120.5 juta melibatkan 3.9 juta naskhah buku,” tambahnya.

Pada 30 Mei lalu, Anwar mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). –  MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here