Noraini (tengah) selepas Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor (Komentar 2024) di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus fokus terhadap isu keganasan rumah tangga biarpun statistik menurun sejak dua tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, isu tersebut menjadi antara cabaran keluarga ketika ini dan masih lagi menjadi antara masalah yang serius.

“Pada tahun lalu sebanyak 577 kes dilaporkan menerusi statistik keganasan rumah tangga membabitkan wanita oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Pada tahun 2022, sebanyak 422 kes keganasan membabitkan wanita dilaporkan, diikuti tahun lalu (577 kes) dan tahun ini sehingga Ogos sebanyak 442 kes dilaporkan.

“Walaupun Kerajaan telah menguat kuasa Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Isu kekerasan dalam rumah tangga masih menjadi masalah serius. Masih ramai mangsa, terutama wanita dan kanak-kanak menghadapi kesulitan untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor (Komentar 2024) di Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.

Katanya, beberapa isu lain yang harus juga diberi perhatian seperti pengabaian anak, kesihatan mental serta isu-isu berkaitan perkahwinan dan perceraian pasangan yang secara tidak langsung boleh merapuhkan peranan dan fungsi institusi kekeluaragaan di negara ini.

Menurut Noraini, masyarakat memainkan peranan sangat penting terutama dalam memberikan bantuan secara langsung, bagi menangani isu-isu dalam komuniti seperti penderaan atau jenayah melibatkan keganasan keluarga.

“Jika dilihat intervensi krisis yang telah diberikan oleh Sukarelawan Kaunselor Berdaftar (SKB) di pelbagai keadaan. Bagi Negeri Johor, sebanyak 21,074 kes yang merangkumi kategori kanak-kanak, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas telah diberi intervensi krisis, sesi kaunseling individu, pasangan, keluarga dan kelompok kepada komuniti.

“Kami percaya dengan penglibatan lebih ramai ahli komuniti bersama pihak kerajaan, seperti menyertai Skuad Waja dibawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) boleh membantu lebih ramai rakyat negeri ini menempuhi masalah mereka,” katanya.

Jelas Noraini, KPWKM juga sangat komited terhadap agenda pemerkasaan wanita di negara ini yang melibatkan pelbagai inisiatif dan program untuk meningkatkan kedudukan wanita dalam masyarakat.

Antaranya kata beliau, melibatkan pendidikan dan latihan, peluang pekerjaan, kesihatan dan kesejahteraan yang berkualiti.

“Selain kesihatan reproduktif dan mental, memperkuatkan undang-undang dan mekanisme perlindungan bagi wanita daripada keganasan dan penderaan.

“Kepimpinan dan penglibatan dalam penggubalan dasar kesedaran dan pendidikan awam serta sokongan untuk wanita bekerja dengan menyediakan kemudahan seperti penjagaan kanak- kanak dan fleksibiliti kerja untuk membantu wanita menyeimbangkan tanggungjawab keluarga mereka,” ujarnya.- MalaysiaGazetete

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here