Lelaki Pakistan maut ditikam lelaki tempatan dalam kejadian di Pulau Tikus, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Pakistan maut ditikam lelaki tempatan dipercayai menggunakan pemutar skru dalam kejadian di sebuah kedai buah di Pulau Tikus di sini semalam.

Kejadian berlaku 5 petang selepas mangsa berusia 48 tahun itu didapati cuba mencuri minuman keras di kedai tersebut dan ia disedari pemilik premis.

Difahamkan, ketika pemilik premis menegur perbuatan lelaki tersebut tiba-tiba seorang pelanggan yang datang ke kedainya bertindak menikam mangsa mengunakan pemutar skru.

Pemutar skru yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Satu tikaman dikatakan terkena di bahagian dada manakala tiga lagi di belakang badan mangsa.

Susulan itu, mangsa dikatakan meminta bantuan rakannya untuk membawa dia ke sebuah klinik swasta di Jalan Dato Keramat di sini iaitu kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di ketika menerima rawatan di klinik berkenaan sebelum ia dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira  7 malam.

Difahamkan, siasatan polis di lokasi kejadian menemui pemutar skru yang dipercayai digunakan suspek di kedai membaiki motosikal yang terletak bersebelah kedai buah tersebut dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan ketika ini.

Mangsa maut ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Jalan Dato Keramat di sini.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here