Seorang pemuda maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Melana, berhampiran sebuah kedai di Jalan Pulai Perdana 11/7, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Seorang pemuda maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Melana, berhampiran sebuah kedai di Jalan Pulai Perdana 11/7, Kangkar, Pulai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 24 tahun.

Pihaknya menerima panggilan dari Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang memaklumkan kejadian berkenaan pukul 9.50 malam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mayatnya juga sudah dibawa ke HSA untuk dibedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan pukul 9.29 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian pukul 9.38 malam, kira-kira sembilan minit selepas panggilan dibuat.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II KUP Khairul Anuar Zainal, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, mereka segera memulakan operasi pencarian menggunakan teknik ‘surface searching’.

“Mangsa ditemukan pada kedalaman dua meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambahhya, operasi membabitkan 11 anggota dengan sokongan tiga jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Copact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 10.47 malam.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here