KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sebuah kereta berwarna merah yang dipercayai merempuh sebuah motosikal di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke The Mines Sri Kembangan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, satu rakaman video memaparkan kemalangan itu yang tular di aplikasi WhatsApp kira-kira jam 7 petang Isnin.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 2.34 petangĀ 11 Oktober lalu.
“Semasa penunggang motosikal menunggang motosikal menghala ke susur masuk Lebuhraya Sungai Besi, dalam masa yang sama sebuah kenderaan jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti datang dari arah TBS telah melanggar penunggang motosikal menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan lalu terjatuh.
“Selepas kemalangan itu, pemandu kenderaan terbabit tidak memberhentikan kenderaannya dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Zamzuri, penunggang motosikal dikenalpasti sebagai seorang lelaki berumur 40 tahun telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut.
“JSPT KL masih mengesan kenderaan yang terlibat (merempuh motosikal) dan menggesa agar pemandu kenderaan serta pemilik dash camp (papan pemuka) yang merakam kemalangan tersebut tampil hadir ke Balai Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zuhairi di talian 017-9732731 atau pejabat JSPTKL, Jalan Tun H.5 Lee di talian 03-2071 9999 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette