Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah addendum didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah itu didakwa bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Tarikh itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hari ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden termasuk kerajaan bagi mencabar kewujudan titah addendum 3 Julai lepas.

Ketika itu hakim bicara, Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan Najib hanya sekadar ‘dengar cakap’ dan khabar angin sahaja.

Ia termasuk afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bekas Perdana Menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

Mahkamah tolak permohonan Najib cabar kewujudan titah Adendum

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here