Lelaki Pakistan maut ditikam lelaki tempatan dalam kejadian di Pulau Tikus, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes lelaki Pakistan mati ditikam dengan pemutar skru di sebuah kedai buah di Pulau Tikus di sini, semalam dalam tempoh kurang 24 jam selepas suspek utama kes tersebut diberkas hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek utama berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjong Tokong di sini, jam 12.55 tengah hari tadi.

“Turut ditahan lima lagi suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di kawasan sama.

“Penahanan tersebut menjadikan seramai 14 suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Pemilik, pekerja kedai buah dan motosikal direman kes bunuh lelaki Pakistan

Lelaki Pakistan maut ditikam dengan pemutar skru

Terdahulu, polis memberkas lapan suspek termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 58 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh lelaki Pakistan.

Mereka ditahan terdiri daripada pemilik dan pekerja kedai motosikal serta buah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa berusia 48 tahun didakwa cuba mencuri minuman keras di kedai berkenaan sebelum disedari pemilik premis.

Ketika pemilik premis menegur perbuatan lelaki itu, seorang pelanggan yang datang ke kedainya dikatakan secara tiba-tiba bertindak menikam mangsa.

Mangsa meninggal dunia selepas dihantar oleh rakannya ke sebuah klinik di Jalan Dato Keramat yang dianggarkan terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here