Tertuduh, Koperal Muhamad Adham Samsudin, 34, Lans Koperal Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, 29, dan Koperal Muhammad Najib Muhamad, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan RM3,000 bagi melepaskan pasangan kekasih yang berdua-duaan dalam kereta tahun lalu.

MELAKA – Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan pasangan kekasih yang berdua-duaan dalam kereta tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Muhamad Adham Samsudin, 34, Lans Koperal Wan Muhammad Fauzi Zulkefli, 29, dan Koperal Muhammad Najib Muhamad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah
di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa meminta secara rasuah wang tunai bernilai RM3,000 daripada sepasang kekasih.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan lanjut selepas lelaki dan wanita itu ditahan berdua-duaan di dalam kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam bilik rehat ‘Ops Lejang’ Balai Polis Melaka Tengah, antara pukul 2.40 pagi hingga 3.30 pagi, 7 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berkenaan ketika berada di meja batu bersebelahan Pondok Polis Pelancong, Jonker Walk, Melaka sekitar pukul 4 hingga 4.30 pagi hari yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM10,000 mengambil kira kesalahan rasuah yang dilakukan tertuduh.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan antara RM2,400 hingga RM 3,300 dan mempunyai tanggungan isteri serta anak.

Hakim Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh serta membenarkan syarat-syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here