KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi berpendapat tindakan mewajibkan majikan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing akan mewujudkan keadaan “tiga serangkai” apabila mengambil kira dua dasar lain iaitu cukai kepala bertingkat dan juga gaji minimum.
Keadaan itu dijangka menyebabkan kos perusahaan melonjak dalam jangka pendek.
Nanyang Siang Pau melaporkan, implikasinya paling dirasai oleh industri makanan dan minuman kerana keadaannya yang berintensif buruh, mempunyai tahap automasi yang rendah, skala bisnes yang kecil serta persaingan yang sengit.
Pakar ekonomi, Peck Boon Soon berkata, jika “tiga serangkai” dilaksanakan secara serentak pada tahun depan, maka industri makanan menerima kesan paling besar, diikuti oleh pembinaan dan pembuatan.
Beliau menjelaskan, perusahaan makanan secara umumnya mempunyai tahap automasi yang lebih rendah berbanding pembinaan dan pembuatan, yang bermaksud lebih bergantung kepada pekerja.
Katanya, jika peniaga makanan mengalihkan kos kepada pengguna, maka kos “makan di kedai” akan meningkat.
“Jika kos pekerja yang ditanggung perusahaan makanan melebihi pendapatan, maka peniaga akan berdepan masalah aliran tunai.
“Ini akan memaksa mereka mengalihkan kos kepada pengguna,” katanya.
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, majikan perlu menanggung modal tambahan hampir RM6.6 bilion setiap tahun jika kadar caruman mereka kepada pekerja asing adalah sama dengan pekerja tempatan, iaitu pada kadar 12 hingga 13 peratus.
Beliau berkata, anggaran itu adalah berdasarkan jumlah pekerja asing di Malaysia yang mencecah 2.5 juta orang dan gaji minimum sebanyak RM1,700.
Thian Lai berkata, beliau terkejut dan bimbang dengan pengumuman dalam Bajet 2025 bahawa kerajaan mahu mewajibkan majikan mencarum untuk pekerja asing.
Katanya, kerajaan sebelum ini tidak pernah berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai perkara itu.
“Kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai langkah kerajaan ini,” katanya.