Seorang lelaki warga asing ditemui mati berlumuran darah di luar stor Jalan Kemajuan Perindustrian 4, Batu 24, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh dalam tempoh kurang 24 jam selepas menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat lelaki di luar sebuah stor di Jalan Kemajuan Perindustrian 4, Batu 24, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, maklumat mengenai penemuan mayat lelaki warga asing berusia 30 tahun yang berlumuran darah di lokasi kejadian diterima pada pukul 12.30 pagi.

“Bertindak atas maklumat, antara pukul 2 hingga 4 pagi, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan lelaki samun warga asing berusia 38 tahun di tepi jalan Batu 25, Jalan Johor, di sini.

“Susulan tangkapan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit berserta dengan pakaian yang mempunyai kesan darah dipercayai dipakai suspek semasa kejadian.

“Bagaimanapun senjata yang digunakan masih dalam pencarian polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian lebih kepada mabuk di bawah pengaruh alkohol dan hutang.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati tidak terbabit dalam salah guna dadah dan semakan rekod lampau juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk dibedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here