Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 lagi lelaki dibawa ke mahkamah hari ini untuk didakwa di bawah pertuduhan mengikut Akta 130V (1) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2024.

SELAYANG – Kesemua 22 ahli termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua 22 individu tersebut kerana kes itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sebaliknya mereka hanya memahami pertuduhan dan hukuman yang bakal dihadapi ketika dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @Harun.

Antara tertuduh ialah Nasiruddin Mohd Ali, 65; Hasnan Abd Hamid, 53; Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32; Mohd Shukri Mohd Noor, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md Jasin, 57;  Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34; Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Turut didakwa Azura Md Yusof, 57; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly,44; Mahani Kasim, 54; Siti Hajar Ismail, 51; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nurul Jannah Idris, 28; Nur Jannah Omar, 32 dan Siti Salmiah Ismail, 57,

Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita itu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Sebahagian daripada sembilan wanita yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang. Mereka antara 22 individu yang turut akan dituduh pada pagi ini ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2024.

Prosiding pendakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.

Manakala kesemua 22 ahli GISBH itu diwakili barisan peguam, diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Muhammad Zaim Rosli, M.Hafiz Zainol Abidin, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.

Rosli yang mewakili kesemua tertuduh memohon untuk mendapatkan pandangan mahkamah berhubung permohonan jaminan terhadap kesemua anak guamnya.

“Oleh kerana kes ini melibatkan satu pertuduhan dalam jadual Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk dipindahkan, kami mohon untuk mendapatkan panduan sama ada permohonan jaminan layak didengar di mahkamah ini atau di Mahkamah Tinggi,” katanya yang mengetuai barisan peguam.

Memandangkan kes itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), hakim tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas 22 tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim Lailatul Zuraida berkata permohonan jaminan perlu dibuat di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan kes.

Terdahulu, peguam Rosli memohon mahkamah menangguhkan prosiding bagi memberi laluan kepada empat dari 22 ahli lembaga pengarah GISBH menandatangani afidavit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here