Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,400 syarikat telah menggunakan sistem e-Invois yang melibatkan pengeluaran 58 juta invois secara keseluruhan setakat 14 Oktober 2024, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Prestasi itu, kata kementerian, menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan syarikat dalam mematuhi pelaksanaan sistem invois secara elektronik.

Kementerian Kewwangan berkata, fasa pertama pelaksanaan sistem itu bermula pada 1 Ogos, 2024 yang melibatkan syarikat-syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

“Fasa kedua akan bermula pada 1 Jan, 2025 melibatkan syarikat dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta sehingga RM100 juta.

“Pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh pula akan bermula pada 1 Julai, 2025 yang melibatkan semua perniagaan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai dasar dan status pelaksanaan e-Invois, manfaat, cabaran serta keupayaannya dalam meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara dan menangani isu ekonomi bayangan.

Jelas kementerian, pelaksanaan e-Invois memberi manfaat kepada kerajaan dan pentadbir percukaian dalam menangani isu ketirisan cukai dan ekonomi bayangan dengan maklumat diperolehi secara masa nyata dapat mengurangkan peluang perniagaan melaporkan jualan yang kurang atau melebihkan jumlah perbelanjaan.

“Nombor ID unik akan diberikan ke atas e-Invois yang disahkan bagi membolehkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjejaki transaksi apabila tindakan audit dilaksanakan dalam memastikan tiada perubahan, penipuan dan pemalsuan pada e-Invois.

“Langkah ini dapat meningkatkan keseluruhan kecekapan kutipan cukai dan pematuhannya, sekali gus membantu kerajaan dalam menangani isu ekonomi bayangan,” katanya.

Menurut kementerian, antara isu dalam fasa awal pelaksanaan e-Invois adalah kesukaran di pihak penjual untuk mendapatkan maklumat Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pembeli bagi tujuan pengeluaran e-Invois.

“Namun bagi memudahkan pencarian nombor TIN pembeli, LHDN sedang dalam proses menyediakan platform bagi tujuan semakan nombor berkenaan,” katanya.

Bagi isu kesukaran akses portal MyInvois, LHDN juga telah meningkatkan komunikasi melalui pelbagai medium seperti panduan pengguna dan video pendidikan kepada pembayar cukai.

Kementerian itu berkata bagi membolehkan pembayar cukai menguruskan pengeluaran e-Invois dengan lancar, LHDN telah menyediakan fungsi muat naik secara berkelompok yang dijelaskan melalui panduan pengguna di Portal MyInvois. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here