Antara barang kemas yang dirampas.

MELAKA – Seorang lelaki yang aktif bergerak solo dalam 22 kejadian pecah rumah melibatkan kerugiaan kira-kira RM150,000 sejak awal tahun ini akhirnya tumpas selepas diberkas polis minggu lalu.

Suspek yang juga dikenali ‘Cicak’ berusia 42 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Risikan/ Operasi/ Rekod Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah kira-kira pukul 4.20 petang, 16 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, lelaki itu ditahan di sebuah bilik hotel di Taman Angkasa Nuri, Batu Berendam di sini bersama pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas dan pakaian berjenama dipercayai milik mangsanya.

Md. Nazri Zawawi

 

“Hasil soal siasat, suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Cicak’ mengaku terlibat secara solo dalam 22 kes pecah rumah sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak awal tahun ini.

“Modus operandinya adalah menyasarkan rumah-rumah yang dipercayai tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan mencuri pelbagai jenis barangan berharga termasuk emas dan pakaian berjenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu polis turut merampas barang kemas berupa 11 bentuk cincin, empat utas rantai leher, gelang tangan dan dua bentuk subang.

Turut ditemukan adalah 10 unit telefon bimbit, 10 beg pakaian, satu komputer riba, sejumlah resit tukaran mata wang asing, pakaian berjenama dipercayai milik mangsa dan sebuah motosikal jenis jenis Yamaha Y15.

Antara pakaian berjenama dipercayai milik mangsa kejadian pecah rumah yang dirampas.

“Polis juga menjumpai satu beg hitam mengandungi satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.34 gram dan kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM150,000.

“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati suspek terlibat dalam 10 kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan pecah rumah, masing-masing satu kes di bawah Seksyen 392 KK kerana merompak dan Seksyen 324 KK menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Sebahagian daripada barang kes yang dirampas.

Md. Nazri berkata, suspek turut mempunyai rekod dua lagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Suspek direman selama 10 hari sehingga 25 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here