Hashem Safieddine

BAITULMAQDIS – Tentera Israel mendakwa telah membunuh individu yang bakal menggantikan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah yang maut dalam serangan udara hampir tiga minggu lalu.

Hashem Safieddine maut dalam serangan udara di pinggir selatan ibu kota Lubnan, Beirut, menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Namun setakat ini Hezbollah belum mengesahkan kematian Safieddine.

Nasrallah, terbunuh oleh serangan udara Israel di Beirut pada 27 September lalu.

Selepas serangan udara berhampiran lapangan terbang Beirut, 4 Oktober lalu, sumber Hezbollah berkata, mereka telah terputus hubungan dengan Safieddine.

Media Amerika Syarikat memetik pegawai Israel yang berkata, Safieddine telah menjadi sasaran pengeboman.

Letupan besar menggegarkan bandar pada malam itu, meninggalkan kepulan asap yang masih dapat dilihat hingga ke pagi.

Pada hari Selasa, IDF mengeluarkan kenyataan mengatakan Safieddine telah dibunuh bersama Ali Hussein Hazima, yang disifatkan sebagai komander Ibu Pejabat Perisikan Hezbollah, dalam serangan ke atas ibu pejabat perisikan utama organisasi di Beirut.

Ia menuduh Safieddine mengarahkan “serangan pengganas terhadap negara Israel” selama bertahun-tahun, serta mengambil bahagian dalam “proses membuat keputusan pusat” Hezbollah.

Safieddine, 60, telah dikategorikan sebagai “pengganas global” oleh AS dan Arab Saudi pada 2017. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here