Logo Global Ikhwan Services and Business Holdings (GIBSH)

KUALA LUMPUR – Hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja pada hari ini dan esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hasil kajian berkenaan amalan kumpulan itu secara keseluruhannya telah dibentangkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

“Keputusan hukum ini diperkenankan Pengerusi MKI dan seterusnya akan dipersembahkan kepada MRR (Majlis Raja-Raja) pada 23 dan 24 Oktober.

“Sehingga kini sebanyak enam buah negeri buah ketetapan hukum berkenaan GISBH,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad (Perikatan Nasional) yang meminta Menteri Agama menjelaskan sebab Tariqat Aurad Muhamadiyah masih diamalkan.

Terdahulu menurut beliau, pengikut GISBH masih mengamalkan tariqat berkenaan kerana yakin mampu memberi manfaat dan percaya ia merupakan kekuatan ekonomi meskipun telah difatwakan sebagai ajaran sesat sebelum ini.

Tambahnya, pengaruh pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad juga didapati masih kuat dan berpengaruh dalam kalangan pengikut GISBH terutama dalam kalangan yang tidak faham mengenai fatwa.

“Berdasarkan pemerhatian Jakim, Tariqat Aurad Muhamadiyah masih diamalkan oleh pengikut GISBH kerana beberapa faktor, antaranya pengamalan secara tersembunyi serta sukar dikesan dan pengaruh pemimpin Al-Arqam (Allahyarham Ashaari Muhammad) yang masih kuat dalam kalangan pengikut walaupun telah difatwa sebagai sesat.

“Faktor seperti pengaruh komuniti dalam komuniti dan ketidakpastian memahami fatwa juga mempengaruhi mereka,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Jakim konsisten menumpukan usaha memperkukuhkan akidah pegangan umat Islam khususnya kini terhadap pengikut GISBH.

Ia dijalankan melalui pelaksanaan inisiatif menerusi pembudayaan ilmu, pentarbiyahan yang dilaksanakan dengan Kerjasama Majlis Agama Islam peringkat negeri.

Selain itu katanya lagi, Op Global yang diadakan sejak September yang lalu adalah antara langkah drastik kerajaan demi memastikan tariqat berkenaan berjaya dihapuskan.

“Melalui Op Global ini banyak bahan bukti terkait akidah diperoleh, di samping itu pelan tindakan pemulihan juga dilaksanakan kepada ahli GISBH, usaha ini diakukan kolaborasi Jakim dengan agensi terlibat,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here