Suspek merupakan warga Nepal yang dicekup penduduk setempat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Nepal yang cuba menculik kanak-kanak dua tahun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dalam kejadian di Kampung Bunga Raya, Rawang, Selangor semalam.

Kejadian itu tular di media sosial menyaksikan suspek diikat oleh orang awam setempat dan kemudian diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada pengadu berusia 47 tahun sekitar jam 12.40 tengah hari selepas dia terdengar jirannya menjerit meminta tolong dan menjerit berlaku penculilkan.

“Pengadu bertindak pergi ke rumah jirannya dan ternampak suspek melarikan anak jirannya. Dia bersama penduduk setempat mengejar suspek dengan jarak 500 meter dari lokasi kejadian.

“Pergelutan berlaku dengan suspek sebelum lelaki Nepal yang menjadi tukang pembersih berjaya dicekup berdekatan kawasan pembuangan sampah.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kejadian culik itu dipercayai berlaku di ruang tamu rumah keluarga mangsa selepas memperkenalkan diri sebagai tukang cuci.

Suspek bertindak berseorangan ketika kejadian.

Mohd Hafiz berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh dikena dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597.

Terdahulu, tular dua video di Facebook memaparkan seorang lelaki warga asing terbaring ditanah dengan tangan diikat selepas diberkas orang awam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here