Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) melihat kerajaan perpaduan lebih cenderung untuk menyerang golongan ‘mahakaya’ berbanding berterima kasih kepada mereka.

Malah Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat, definisi golongan mahakaya juga tidak diperincikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bukan nak bela golongan ini tetapi harus kita ingat mereka beri sumbangan yang besar kepada negara.

“Bahkan dalam pencapaian Wawasan 2020 suatu masa dahulu kita letakkan sasaran pendapatan per kapita rakyat sebagai satu mekanisme, maknanya kerajaan mesti berusaha untuk meramaikan golongan kaya dan mengurangkan golongan miskin.

“Kalau kita boleh tingkatkan aspek golongan kaya dalam negara dan bukannya menyerang mereka.

“Sebagai contoh kerajaan bercadang untuk menghapuskan subsidi pendidikan kepada golongan mahakaya sedangkan saya melihat pendidikan bukan komoditi, ini tanggungjawab kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Pembangkang sebelum ini menggesa agar Anwar untuk menjelaskan secara terperinci mengenai golongan ‘mahakaya’ yang terdapat di negara ini.

Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin membangkitkan perkara itu susulan pengumuman penyasaran subsidi petrol RON95 yang dibuat Anwar pada pembentangan Belanjawan 2025.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan cadangan memperkenalkan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula pada tahun taksiran 2025.

Jelas Anwar, pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara.

Pada pembentangan sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut menjelaskan, subsidi petrol dan pendidikan bagi golongan T15 juga akan disasarkan semula kepada menambah baik aspek kesejahteraan lain bagi rakyat yang memerlukan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here