Haikal Hazwan didakwa atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat remaja lelaki di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinnag hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pekerja katering mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual termasuk meliwat membabitkan empat remaja lelaki.

Tertuduh, Haikal Hazwan Che Wan, 24, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur seorang remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik di Apartmen Permata di Bandar Perda, Bukit Mertajam jam 3 petang pada Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, lelaki yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual dengan menghisap kemaluan empat remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun termasuk mangsa bagi pertuduhan pertama.

Tertuduh tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.

Kesalahan itu dilakukan di bilik apartmen sama antara Mac 2023 dan Mei tahun ini

Bagi semua kesalahan dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan jenayah seksual itu membabitkan mangsa bawah umur.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan minima atas alasan dia perlu menanggung perbelanjaan keluarga dengan pendapatan bulanan RM1,200.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dia tidak dibenarkan mendekati atau ganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 25 November depan bagi mendapatkan laporan perubatan dan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Bukit Mertajam tertuduh juga didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan beberapa keping gambar lucah dalam telefon bimbit jenis IPhone 11 pro miliknya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here