Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Seorang pekerja sub kontraktor maut selepas terjatuh dari lubang aliran udara dengan ketinggian 18 meter di sebuah tapak pembinaan di sini, kelmarin.

Kejadian jam 9.40 pagi itu menyebabkan lelaki warga asing itu dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik pihaknya menerima pemberitahuan mengenai kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja am dari syarikat sub kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja- kerja membuka formwork.

“Bagaimanapun ketika membuka formwork tersebut mangsa dilaporkan terjatuh dari ketinggian 18 meter.

“Mangsa dijumpai di aras bawah bersama sekeping papan lapis yang jatuh bersamanya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Formwork merupakan struktur bumbung lubang aliran udara pada bangunan yang dikenali sebagai dog house untuk para pekerja di tapak pembinaan tersebut.

Tambah kenyataan itu, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja melibatkan semua struktur aliran udara pada bangunan di kawasan kejadian di tapak pembinaan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Kita juga mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan sebelum membuat pembentangan kes kepada jabatan.

“JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan semua saksi yang telah dikenal pasti selain lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

“JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor selain sentiasa komited bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here