Dari kiri Hamidin, Tunku Mahkota Ismail, Anwar dan Hannah Yeoh selepas pertemuan membincangkan isu terkini dan berkaitan Johor di Kuala Lumpur hari ini

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suanm dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Menerusi pertemuan selama 45 miniti yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, HRH Crown Prince of Johor, mereka membincangkan pelbagai isu terkini serta berkaitan Johor.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai perancangan serta pembangunan sukan bola sepak negara dan pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan dimuat naik dalam Facebook tersebut.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail terima mengadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail berkongsi idea untuk menswastakan skuad Harimau Malaya dengan beliau sedia menyediakan segala kemudahan dan fasiliti terbaik buat pasukan, sekali gus cuba menaikkan prestasi skuad negara.

Bagaimanapun, pada Mesyuarat Ke-12 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 yang berlangsung 7 Oktober lalu menyaksikan badan induk itu tidak akan mengasingkan atau menswastakan skuad kebangsaan sebaliknya akan diletakkan dalam Unit Khas FAM.

Difahamkan Unit Khas itu akan bertanggungjawab memantau dan mengendalikan skuad Harimau Malaya dan pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara termasuk membabitkan peruntukan kewangan serta barisan kejurulatihan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here