Seorang pengarah syarikat dan jurutera direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas disyaki memberi dan menerima suapan sebagai dorongan untuk mendapatkan projek berkaitan sewaan genset bernilai RM90,000 tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengarah syarikat dan jurutera direman lima hari selepas disyaki memberi dan menerima suapan sebagai dorongan untuk mendapatkan projek berkaitan sewaan genset bernilai RM90,000 tahun lalu.

Perintah reman sehingga 27 Oktober ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 60-an.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.10 pagi tadi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua suspek ditahan antara pukul 1.30 tengah hari dan pukul 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai dorongan untuk mendapatkan projek berkenaan sekitar November 2023.

Jelasnya salah seorang suspek iaitu pengarah syarikat dipercayai telah memberi wang rasuah kepada jurutera terbabit sebanyak RM2,000 melalui pindahan ke akaun bank milik isterinya.

Perbuatan itu adalah sebagai dorongan untuk mendapatkan projek berkaitan sewaan genset bernilai kira-kira RM90,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan 16(b)(A) akta yang sama. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here