Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

KUALA LUMPUR – Di bawah perundangan Pertubuhan Peladang (Nafas), sebarang aduan atau dakwaan ke atas Nafas hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar sebelum sebarang keputusan boleh dilaksanakan.

Perkara ini termaktub dalam Seksyen 7(1), Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

Pendaftar Nafas berkata, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan tugas pengurus besarnya, Faris Arriffin daripada Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas.

“Justeru, keputusan Mesyuarat Jemaah Pengarah Nafas pada 22 Oktober 2024 berkaitan penggantungan Pengurus Besar Nafas tidak boleh dikuatkuasakan sehingga suatu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh Pendaftar,” katanya.

Malah, tindakan Ahli Jemaah Pengarah Nafas mengeluarkan kenyataan media adalah tidak wajar, ujarnya.

Semalam, Jemaah Pengarah Nafas mengantung tugas Faris susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait pertubuhan itu yang merupakan dana milik ahli.

Menurut Nafas, pihaknya mendapati berlaku pelanggaran tatakelola ketara apabila terdapat penyaluran kewangan kepada badan-badan kerajaan atau NGO yang tidak mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu, malah ia juga di luar pengetahuan jemaah pengarah.

Awal pagi ini, Faris mendakwa tuduhan yang dikemukakan terhadap dirinya berhubung dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu dibuat sebelum sebarang proses semakan dalaman dimulakan

“Sepanjang tempoh kepimpinan saya, setiap inisiatif yang dilaksanakan di Nafas adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan, dan akauntabiliti.

“Keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi ini.

“Keutamaan saya adalah untuk terus menegakkan prinsip tadbir urus yang baik, dan saya yakin Nafas akan terus beroperasi dengan integriti demi kepentingan semua pihak berkepentingan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here