Mohamad Ali Mohamad

MELAKA – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Melaka mendakwa terdapat unsur rasuah ketika Persidangan Agung Tahunan Ke-32, Ahad lalu sehingga mesyuarat itu terpaksa ditangguhkan.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, perbuatan itu didalangi pihak luar yang menyogok setiap guru silat sebanyak RM400 untuk diberikan kepada perwakilan bagi memilih calon jawatan Yang Dipertua.

“Individu yang bertanding jawatan berkenaan turut hadir semasa pemberian rasuah itu berlaku kepada setiap perguruan, malah ini diakui penerima sendiri sekali gus memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan.

“Saya sudah membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam dan berharap mereka dapat mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media di kediamannya di Klebang, di sini malam tadi.

Persidangan Agung Tahunan Ke-32 Pesaka Melaka diadakan di Klebang, di sini dirasmikan bekas Yang Dipertua Pesaka negeri, Datuk Yaakub Md Amin.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, individu yang melakukan rasuah itu adalah orang luar dan bukannya ahli Pesaka Melaka yang mencalonkan ahli Pesaka lain ke jawatan berkenaan.

“Perbuatan campur tangan daripada pihak luar ini yang mahu merosakkan Pesaka dengan amalan rasuah kepada perwakilan tidak sepatutnya berlaku dan akan ditentang habis-habisan.

“Saya tak mahu dedahkan siapakah individu berkenaan dan menyerahkan kepercayaan penuh kepada SPRM untuk menyiasat berdasarkan segala bukti dan saksi yang sudah jelas,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here