Chang Lih Kang.

KUALA LUMPUR – Kewujudan teknologi reaktor baharu Integrated Nuclear Infrastructure Review for Research Reactor (INIR-RR) oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, (IAEA) akan dapat membantu negara mengurangkan kebergantungan import luar negara terhadap pelbagai jenis radioisotop.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, dengan adanya reaktor tersebut, negara dapat memfokuskan kepada bidang perubatan, industri dan biosains.

“Selain itu, ia juga mampu menyumbang kepada peningkatan pengetahuan saintifik dan inovasi berteknologi tinggi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara,” katanya dalam menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Lih Kang berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu perancangan MOSTI untuk membina reaktor nuklear baru dengan teknologi yang lebih baru dan canggih bagi menggantikan Reaktor Triga Puspati (RTP) yang sudah digunakan sejak 1982.

Reaktor TRIGA PUSPATI yang dibina sejak 1982 melibatkan perkhidmatan dan kajian penyelidikan.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia sedang menjalankan Kajian Teknikal Pelan Penggantian Reaktor TRIGA PUSPATI yang telah dimulakan pada tahun 2022 hingga 2025 menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Kajian yang dijalankan ini jelas Lih Kang melibatkan skop penilaian kesan sosio- ekonomi projek Reaktor Penyelidikan Pelbagai Guna (MPR), termasuk kos pembinaan, operasi, keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan serta pengurusan sisa yang mematuhi piawaian antarabangsa.

“Kajian ini juga mengambil kira input dan cadangan daripada pihak pemegang taruh agar projek ini memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here