Anthony Loke selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik Asean di Double Three Hilton Hotel, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU- Kerajaan akan terus mengekalkan subsidi penerbangan luar bandar Sabah dan Sarawak walaupun syarikat penerbangan MASwings diambil alih kerajaan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana Kementerian sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Sarawak supaya subsidi penerbangan luar bandar akan tetap disalurkan.

“Tak kira siapa operator. Sebelum ini MasWing, sudah tentu subsidi disalurkan kepada MasWing, namun sekiranya selesai nanti kerajaan Sarawak melalui syarikat mereka mengambil alih MasWing, subsidi akan tetap disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik Asean di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan menyuarakan keimbangan mengenai kemungkinan subsidi pengangkutan luar bandar ditamatkan sekiranya MASwings diambil alih kerajaan Sarawak.

Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu bimbang jika subsidi berkenaan tidak diteruskan kos penerbangan intra Sabah akan meningkat.

Pada 11 Oktober lalu, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan yakin proses pengambilalihan syarikat penerbangan, MASwings oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak itu dilaporkan berkata, kerajaan Sarawak kini dalam peringkat rundingan lanjutan dengan beberapa pihak berkepentingan.

Ia membabitkan Malaysian Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional Bhd dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB).- MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here