Nelayan yang juga suspek utama kes tikam mati lelaki Pakistan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

GEORGE TOWN – Seorang nelayan yang juga suspek utama kes tikam mati lelaki Pakistan menggunakan pemutar skru di kedai buah di Pulau Tikus di sini, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Shahirah Abdul Halim bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu, majistret turut membenarkan lima lagi rakan suspek termasuk seorang wanita direman selama tiga hari sehingga 25 Oktober ini.

Suspek utama dan rakan-rakannya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes lelaki Pakistan mati ditikam dengan pemutar skru di sebuah kedai buah di Pulau Tikus di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas suspek utama kes tersebut diberkas.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek utama berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjong Tokong di sini, jam 12.55 tengah hari.

Turut ditahan lima lagi suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

“Penahanan tersebut menjadikan seramai 14 suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Isnin lalu, mangsa berusia 48 tahun didakwa cuba mencuri minuman keras di kedai berkenaan sebelum disedari pemilik premis.

Ketika pemilik premis menegur perbuatan lelaki itu, seorang pelanggan yang datang ke kedainya dikatakan secara tiba-tiba bertindak menikam mangsa.

Mangsa meninggal dunia selepas dihantar oleh rakannya ke sebuah klinik di Jalan Dato Keramat yang dianggarkan terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here