GAMBAR HIASAN.

KUALA LUMPUR – Syarikat perniagaan yang tidak dapat membayar gaji minimum di bawah indeks garis kemiskinan tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan dan seharusnya menutup perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU), Andrew Lo berkata, kerajaan tidak boleh terus memberi subsidi kepada perniagaan yang tidak cekap itu dengan mengekalkan gaji yang rendah.

Jelasnya, pendapatan rakyat Malaysia yang rendah memaksa kerajaan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam banyak sektor daripada petrol sehinggalah harga ayam.

“PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sebaliknya adalah antara komuniti perniagaan yang paling dilindungi dan dibantu dengan begitu banyak inisiatif untuk membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal MalaysiaKini hari ini.

Sementara itu, Andrew turut mencabar Persatuan SME Malaysia memberikan bukti pelaksanaan gaji yang lebih tinggi serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing akan memberi peningkatan mendadak dalam kos operasi syarikat perniagaan.

Kata beliau, pihaknya akan menghantar petisyen kepada kerajaan untuk mengurangkan gaji minimum sekiranya dakwaan tersebut benar.

“(Tetapi) kami ingin menegaskan bahawa majikan pada masa lalu bahkan membuat dakwaan yang kini disangkal bahawa gaji minimum akan menyebabkan 300,000 perniagaan ditutup. Ia adalah gambaran yang salah sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 mengumumkan kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP dan cadangan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa.

Bagaimanapun, beberapa pihak dalam sektor industri perniagaan mendesak kerajaan mengkaji semula dasar gaji minimum RM1,700 dan caruman KWSP kepada pekerja asing itu yang disifatkan boleh memberi bebanan kos kepada syarikat perniagaan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here