Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan waktu pendaftaran masuk dan keluar hotel bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sebaliknya menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara tersebut merupakan bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Untuk makluman, Akta Industri Pelancongan 1992 memperuntukkan berkenaan keperluan pendaftaran premis penginapan pelancong termasuk hotel bukan terletak di bawah MOTAC,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin (Perikatan Nasional).

Ahli Parlimen itu terdahulu meminta MOTAC menyatakan adakah kementerian itu mengambil serius dengan memantau lebih dekat isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel ini.

Ia susulan rungutan orang ramai  mengenai ketidakadilan hotel tempatan yang sewenang-wenangnya mengubah waktu daftar masuk dan keluar hotel yang ditetapkan pada jam 4 petang dan daftar keluar pada jam 11 pagi.

Waktu ini berbanding jam 3 petang untuk daftar masuk dan 12 tengah hari pada kebiasaannya.

Jelas King Sing, MOTAC menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 17 Oktober lalu telah menyatakan kekurangan tenaga pekerja di bahagian pengemasan sebuah hotel mengakibatkan berlakunya kelewatan masa pendaftaran masuk.

Mengulas lanjut, beliau berkata akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia, dan kerajaan negeri untuk memperincikan isu tersebut sekali gus memastikan perkhidmatan industri perhotelan dalam negara sentiasa memuaskan hati pelanggan.

“Perbincangan ini demi memastikan standard dan kualiti premis penginapan sentiasa berada di tahap tinggi terutama Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here