Pelbagai jenis mercun dan arak seludup dalam serbuan di Die Hard Mart, Taman Cahaya, Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang, malam tadi.

PASIR GUDANG – Polis menahan seorang wanita tempatan serta merampas pelbagai jenis mercun dan arak seludup dalam serbuan di Die Hard Mart, Taman Cahaya, Kota Puteri, Masai di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohami Ishak berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah II melakukan serbuan di premis itu pada pukul 9 malam.

“Hasil serbuan tersebut seorang wanita berusia 40-an ditahan kerana memiliki pelbagai mercun tidak berlesen dan minuman keras tidak bercukai kastam.

“Rampasan itu melibatkan antaranya 29 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan tiga kotak serta 159 tin minuman keras tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, nilai rampasan bagi mercun dan minuman keras tersebut dianggarkan RM60,000.

Katanya, siasatan dilakukan bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang berkastam tanpa cukai.

Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes juga kata Mohd Sohaimi, disiasat bawah Seksyen 8 akta Bahan letupan 1957 hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti jenayah untuk disalurkan ke balai polis berhampiran atau usat kawalan daerh Seri Alam menerusi talian 07-3871422 atau hotline 07-3861422.- MalaysiaGazatte

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here