Norhizam Hassan Baktee

MELAKA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dikenali ‘YB Viral’ mengesahkan akan bertanding pada pemilihan Bahagian Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) 2024-2027, 2 November ini.

Beliau yang tewas atas tiket calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November 2021 berkata, kemunculannya semula ke pentas politik kali ini adalah atas tiket parti yang dapat membela nasib orang Melayu.

“Saya boleh kata begitulah (bertanding peringkat Bahagian Bersatu) parti yang dapat membela nasib orang Melayu cuma jawatan apa itu tak boleh cakap lagi kena tunggu 2 November nanti.

“Ini adalah langkah awal saya untuk buat come back dan kalau ditanya bila saya jadi ahli parti berkenaan, itu dibuat secara sorok-sorok,” katanya ketika ditemui pemberita di Klebang di sini malam tadi.

Ketika ditanya adakah beliau memilih bertanding dalam Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya, Norhizam tidak menafikannya.

“Begitulah…begitulah jangkanya,” katanya ringkas dan enggan mengulas lanjut.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Norhizam menang DUN Pengkalan Batu atas tiket DAP sebelum mengumumkan menjadi calon Bebas yang menyokong UMNO sekali gus berjaya membentuk kerajaan baru di Melaka pada Mac 2020. – MalaysiaZGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast