KUALA LUMPUR – Seramai 32 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika cuba melarikan diri dalam serbuan Op Mahir dipremis menjual tong gas petroleum cecair (LPG) dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Sentul, di sini, semalam.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya telah membuat risikan selama dua minggu di premis berkenaan dan yakin pemilik premis yang majikan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Mereka (PATI) memang dibayar gaji dengan kerja mengangkat, menghantar tong gas membabitkan kerja-kerja di premis menjual tong gas termasuk kerja-kerja mengetuk kenderaan, membasuh kereta.

“Susulan itu, kita menahan 32 PATI terdiri daripada 31 lelaki dan seorang wanita berumur antara 24 hingga 50 tahun didapati memiliki pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka ini merupakan warganegara India, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang bekerja di dua buah premis terbabit,” katanya selepas operasi.

Serbuan itu dijalankan JIM KL bersama penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Wan Mohammed Saupee, operasi sama turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik sebuah premis diserbu.

“Individu berumur 24 tahun ini dipercayai menggajikan PATI secara tidak sah, tindakan diambil di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan seorang lagi pemilik premis yang diserbu untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Wan Mohammed Saupee berkata, siasatan di lokasi mendapati premis terbabit turut diubah suai bagi menempatkan semua pekerja warga asing itu.

“Semakan mendapati, terdapat beberapa pengubahsuaian struktur dilakukan selain terdapat beberapa bahagian dibahagikan kepada bilik dipercayai sebagai tempat tinggal warga asing ini.

“Berkaitan perkara ini, kami akan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk proses serta tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kesemua PATI dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here