Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang individu kontroversi dikenali sebagai Adeline Chang didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas satu pertuduhan memuat naik kandungan gambar seorang kanak-kanak berserta kapsyen yang jelik sifatnya.

Tertuduh, dengan nama sebenar Chang Pei Yi, 24 tahun, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook melalui akaun ”Adeline Chang” secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komen dalam bahasa Mandarin yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati dan menganiayai orang lain.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pendakwaan dilakukan susulan siasatan yang dijalankan ke atas akaun Facebook ‘Adeline Chang’ di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad bin Othman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000.

Sekiranya bayaran gagal dilangsaikan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama enam bulan.

SKMM dalam kenyataannya mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

Ia akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dalam salah laku terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here