KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi fokus terhadap projek mitigasi banjir di sekitar ibu kota menjelang Kepengerusian ASEAN- Malaysia 2025 akan datang.
Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, pelbagai langkah sudah diambil seperti yang dimaklumkannya sebelum ini.
“Dalam kenyataan media sebelum ini saya ada sebutkan tentang pendekatan yang kami ambil untuk atasi banjir di ibu kota.
“Selain itu, kami juga sedang melaksanakan projek mitigasi banjir, di mana satu atau dua telah pun siap dan beberapa projek yang lain masih dalam proses,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Peringkat Wilayah Persekutuan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, DBKL memaklumkan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi banjir di ibu negara termasuk pemasangan pengesan paras air di 30 kawasan berisiko banjir, termasuk sungai dan parit induk, di sekitar ibu negara.
Sensor itu bertujuan memberi notifikasi tentang kenaikan paras air kepada Bilik Kawalan Operasi Kuala Lumpur (KLCCC) dan bertindak sebagai pengesan awal kenaikan paras air yang boleh menyebabkan banjir kilat.
Mengulas lebih lanjut mengenai hal ini, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menjaga kebersihan dan persekitaran awam kerana longkang tersumbat boleh membawa kepada banjir.
“Perkara pertama, kita akan bersihkan longkang yang tersumbat dan bekerjasama dengan SWCorp. Kedua, kita akan memastikan saliran sungai, kolam, sungai lancar.
“Sebelum ini, pembersihan sungai dibuat sebanyak tiga bulan sekali tapi sejak Oktober lalu, DBKL telah membuat pembersihan sebanyak dua kali sebulan,” tambahnya. – MalaysiaGazette